Bilik j-QAF SK Tembangau 01

Membaca Untuk Belajar..

Bulan ini kita bersama-sama menjalani ibadah di bulan yang mulia. Bulan turunnya al-Quran. Ramai juga yang menyambut bulan itu mengaji al-Quran. Membaca al-Quran, demi mendapat ganjaran yang berganda-ganda berbanding bulan biasa.

Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang membaca satu huruf al-Quran, dia akan mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan itu bersamaan dengan 10 kali ganda atau hingga digandakan menjadi tujuh ratus dan hingga gandaan2 yang lebih banyak. Aku tidak katakan satu huruf itu ALIMLAFMIN, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Dalam hadith tersebut Rasulullah ingin menjelaskan kepada kita betapa al-Quran itu, membacanya sahaja sudah mendapat fadilat. Inilah istimewanya al-Quran. Kerana ia mukjizat, kerana ia juga kalam Allah yang dapat dikesan oleh panca indera manusia.

Dalam hadis tersebut juga dinyatakan beza pahala orang yang membaca al-Quran, ada yang dapat 10, dan ada yang dapat 700 dan ada yang diganda-gandakan lagi sehingga pahala yang tidak terkira. Mengapa ia berbeza? Kerana tahap keikhlasan? Mana-mana ibadah kalau dilakukan secara tidak ikhlas, jangan harap pahala, dosa pula yang dapat…. Tapi beza pahala al-Quran bukan kerana tahap ikhlas, tapi kerana keadah membacanya…

Orang yang baca dengan bacaan lebih baik, sudah tentu pahala lebih baik. Kerana dia bersusah payah belajar untuk mendapat bacaan yang baik.

Namun, baca al-Quran yang sebenarnya bukanlah sekadar membaca dan baca dan baca. Maka berlumbalah orang mengaji al-Quran pada bulan puasa, untuk habiskan sekurang-kurangnya satu kali khatam. Ada juga dua kali khatam. ada tiga kali khatam. Bahkan saya tidak pelik kalau dapat lebih daripada 5 kali khatam.

Membaca al-Quran bererti membaca dan memahami. Membaca dan cuba dapatkan pengajaran. Banyak kali khatam itu sudah tentu bacaannya tidak ada kualiti. Bukan kualiti bacaan, tapi kualiti pada pemahaman.

Tidak ramai yang tumpu kepada pemahaman bila membaca al-Quran, kerana sejak daripada kecil lagi, kita tidak diajar membaca al-Quran untuk memahami, tapi diajar hanya membetulkan tajwid. Kadang-kadang kita terlebih2 tumpu kepada tajwid, sehingga mengabaikan aspek yang paaaaaaling penting, iaitu memahami isi kandungan al-Quran.

Kita ada tafsir pimpinan al-Rahman, ada juga tafsir al-azhar, semua ini boleh membantu kita memahami isi kandungan al-Quran. Kepada yang tidak mahir bahasa Arab, adalah sukar untuk memahami perkataan2 al-Quran, tetapi itu bukan masalahnya. Yang penting kita memahami apa yang kita baca. Apa kehendak Allah yang kita baca. Tajwid tajwid jugak, tapi apa yang kita baca, kita tak faham…. apa guna??

Seorang Prof Madya di Akademi Pengajian Islam selalu mengatakan, al-Quran itu ibarat surat yang diutuskan oleh ibu bapa kita kepada kita yang mengandungi wasiat-wasiat dan pesanan. Dihantarnya kepada kita, kita pun baca dan baca…. kita sangat pandai membaca sehingga siap boleh buat lagu… tapi sayangnya… bila ditanya, “Eh, apa yang dia kate? Tah lah, saya baca je.. tapi tak faham..!!!” Terbayang saya, kepada segolongan daripada kita yang cekap sangat tajwidnya, lancar bacaan al-Qurannya, tapi …. tak faham apa yang dibaca!

Inilah masalah kita sekarang. Terlalu berlebihan dalam belajar untuk membaca, bukan membaca untuk belajar.

Kelab Jawi di semua sekolah

Oleh: HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 28 Sept. – Kementerian Pelajaran akan menubuhkan Kelab Jawi di semua sekolah kebangsaan sebagai satu program nilai tambah kepada modul Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) yang menunjukkan kejayaan selepas diperkenalkan tiga tahun lalu.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah tersebut sejajar dengan hasrat kementerian untuk menghidupkan aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah yang melibatkan pelbagai aliran.

“Dalam konteks J-Qaf, saya percaya kelab tersebut boleh menjadi sebahagian daripada apa yang kita tawarkan kepada pelajar untuk mereka melibatkan diri di luar bilik darjah.

“Jadi, kita kena tambah nilai ke atas kejayaan yang telah kita capai,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Festival Jawi dan Khat Sekolah Peringkat Kebangsaan 2007 di Masjid Putra di sini hari ini.

Festival selama sehari itu adalah anjuran bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Hadir sama, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Hishammuddin berkata, apabila diwujudkan kelak, pihak sekolah dibenarkan untuk memikirkan pengisiannya kerana kelab berkenaan memerlukan kepimpinan dan kesungguhan tenaga pengajar dan minat di kalangan murid-murid.

“Kita mengalu-alukan sekolah yang berminat untuk menubuhkan kelab itu dan kita boleh bantu supaya ia menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain,” kata beliau.

Sementara itu, ketika ditanya kesan ke atas sekolah rendah agama berikutan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan sekolah satu sesi, Hishammuddin berkata, ketika modul J-Qaf diperkenalkan, kementerian memang berharap agar apa yang diajar di sekolah agama dapat diajar di sekolah kebangsaan.

“Dengan itu, pada sebelah petang, ia boleh diisi dengan program di luar bilik darjah seperti Kelab Jawi atau kem-kem tertentu.

“Yang penting sekarang ialah selaraskan kurikulum sekolah agama swasta dan tengok sama ada kurikulum (di sekolah agama) yang tidak akan kita sentuh dapat memenuhi keperluan pelajar kita atau tidak,” katanya.

Hishammuddin berkata, jika terdapat pertindihan kurikulum, tidak ada sebab apa yang diajar di sekolah agama sebelah petang dibawa dalam program J-Qaf.

“Saya beri masa tiga tahun sehingga 2010 untuk kita membuat perubahan dan rombakan di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sekolah dan pusat serta mengambil kira aktiviti kokurikulum,” katanya.

Sementara itu, Rais berkata, kementeriannya akan memberikan sokongan kepada penubuhan Kelab Jawi dengan menyediakan beberapa modul supaya program yang dijalankan itu mendatangkan hasil.

KONSEP PELAKSANAAN MODEL- MODEL J-QAF

LATAR BELAKANG

YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi semasa dalam tempoh 100 hari beliau menerajui tampuk kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelima telah menyatakan hasrat supaya pelajar-pelajar Islam di negara ini dapat khatam bacaan al-Quran di peringkat sekolah rendah dan mewajibkan pembelajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah. Untuk memenuhi hasrat ini, Kementerian Pendidikan ketika itu, telah menganjurkan satu Seminar Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) yang berlangsung pada 3 hingga 5 Mac 2004 dan telah memutuskan supaya diadakan satu projek rintis program j-QAF pada bulan April 2004 sebelum pelaksanaan sepenuhnya mulai tahun 2005.

KONSEP j-QAF

Takrif:
j-QAF adalah singkatan kepada Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardhu ain. Kesemua perkara tersebut adalah elemen-elemen dalam Pendidikan Islam kecuali bahasa Arab. Projek j-QAF bermaksud memperkukuhkan penguasaan Jawi, memastikan murid-murid khatam al-Quran di sekolah rendah, mewajibkan pelajaran Bahasa Arab dan memantap amalan dan penghayatan fardu ain. Projek j-QAF adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan dan memperkasakan sekolah kebangsaan.

Matlamat:
Matlamat Pendidikan Islam adalah untuk menghasilkan muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh, beradab dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai hamba dan khalifah Allah yang bertaqwa dan menyumbang kepada tamadun bangsa dan negara. Projek j-QAF memberi tumpuan kepada perkara-perkara khusus ke arah memenuhi matlamat ini.

Objektif:
a. Membolehkan murid khatam al-Quran sebelum menamatkanpengajian di sekolah rendah.
b. Meningkatkan penguasaan murid dalam Jawi dan Fardu Ain.
c. Membolehkan semua murid Islam mempelajari Bahasa Arab.

Kumpulan sasaran :
Kumpulan sasaran projekj-QAF ialah semua murid Islam di sekolah kebangsaan.

STATUS j-QAF DALAM KURIKULUM KEBANGSAAN

Al Quran, Jawi dan Fardhu Ain adalah elemen-elemen dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Sukatan pelajaran Pendidikan Islam sekarang hanya memberi kepada murid-murid pengetahuan dan kemahiran asas dalam bacaan al Quran, Fardhu Ain dan Jawi. Kesemua perkara ini masih ada kelemahan dan perlu dimantapkan lagi. Mata pelajaran Bahasa Arab Komunikasi sebagai bahasa tambahan diajar kepada murid tahun satu dengan masa 60 minit seminggu mulai tahun 2003. Kohot pertama sekarang berada pada tahun dua. la diajar oleh guru Pendidikan Islam sedia ada.

MODEL-MODEL DAN AKTIVITI j-QAF

Model-Model dan aktiviti Jawi
a. Model Kelas Pemulihan Jawi
b. Model Pengukuhan Jawi

Model-Model dan aktiviti Khatam al-Quran
a. Model Tasmik
b. Model 6 Bulan
c. Model Integrasi
d. Model Kelas Khas Al- Quran

Model Bahasa Arab Wajib
Model Perluasan Bahasa Arab Komunikasi (BAK)

Model-model Fardhu Ain
a. ModelPAFA-KAFA
b. Model Kombinasi j-QAF
c. Model Bestari Solat

Definisi Ringkas

MODELTASMIK
Model Tasmik ialah satu program merekodkan perkembangan bacaan murid-murid secara individu berdasarkan program yang diatur bagi membolehkan murid khatam al-Quran di Sekolah Kebangsaan dan dilaksanakan di luar jadual waktu. Murid akan belajar dan membaca al-Quran dengan guru-guru al-Quran di luar sekolah. Guru-guru tersebut adalah ibu bapa murid sendiri atau guru-guru al-Quran yang dilantik oleh ibu bapa murid.

MODEL 6 BULAN
Model 6 bulan ialah program yang menumpukan kepada penguasaan kemahiran membaca al-Quran pada 6 bulan pertama tahun satu dan aspek khatam al-Quran pada 6 bulan pertama pada tahun dua hingga tahun lima. Penguasaan kemahiran membaca al-Quran tahun satu mengunakan Buku Iqra’ 1 hingga 6.

PERLUASAN PELAKSANAAN BAHASA ARAB KOMUNIKASI
Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi bermaksud pelaksanaan mata
pelajaran Bahasa Arab Komunikasi diperluaskan kepada semua beragama Islam.

KELAS PEMULIHAN JAWI
Kelas ini memberi tumpuan membimbing dan memulihkan murid yang belum menguasai asas Jawi dan dilaksanakan oleh guru Pemulihan Khas Pendidikan Islam.

BESTARI SOLAT
Model Bestari Solat adalah aktiviti bimbingan dan amali solat sebagai aktiviti tambahan di sekolah.

(Diambil daripada Laman Web kementerian Pelajaran)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.